Selasa, 28 Mei 2019

Bab 7: Pengurusan Penasihatan Murid





Akhbar di atas menceritakan mengenai keberkesanan program mentor-mentee yang menjadi pendorong untuk pelajar melakar kejayaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Malim. Program mentor mentee merupakan program yang memberi perkhidmatan secara berkelompok berbentuk hubungan antara pelajar yang dikawal sebagai mentee manakala guru sebagai mentor. Program ini untuk mengeratkan lagi hubungan di antara guru dan pelajar agar para pelajar boleh berkongsi masalah akademik dan sebagainya dengan guru mentor agar pelajar dapat dibentuk menjadi lebih cemerlang. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Mokhtar Haron berkata, program mentor-mentee ini secara tidak langsung membantu dalam meningkatkan Gred Purata Sekolah, sekali gus menaikkan prestasi dan pencapaian sekolah.

Setiap guru merupakan individu yang bukan sekadar mengajar di dalam kelas malah sebagai pengganti ibu bapa pelajar di sekolah memandangkan lebih separuh masa pelajar dihabiskan di sekolah. Setiap guru merupakan insan yang akan menjadi tempat untuk pelajar berkongsi masalah terutamanya dalam hal pembelajaran. Bimbingan asas amat diperlukan untuk memberi motivasi kepada para pelajar. 

Mentoring dari sudut pendidikan merupakan gabungan di antara melatih, kaunseling dan penilaian di mana mentor diberi tanggungjawab untuk membantu mentee. Proses mentoring adalah dengan menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan pelajar. Perkara ini mungkin mengambil masa yang sedikit lama bagi memastikan wujudnya perasaan saling mempercayai di antara mentor dan mentee. Kemudian seorang mentor mestilah berusaha untuk membantu pelajar satu peringkat kepada satu peringkat sehingga pelajar dapat mencapai kebolehan diri. 

Kesimpulan, setiap guru perlu mempunyai semangat dan motivasi yang tinggi untuk dikongsikan kepada pelajar kerana guru bukan hanya insan yang memberi ilmu pengetahuan bahkan merupakan tempat untuk pelajar berkongsi rasa dan guru merupakan insan yang penting untuk mendorong pelajar melakar sebuah kejayaan. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan