Selasa, 28 Mei 2019

Bab 9 : Pengurusan Murid Pelbagai Upaya





Akbar di atas mengisahkan mengenai seorang guru pendidikan khas yang bernama Ahmad Sabri. Beliau merupakan penerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas 2018 peringkat negeri Terengganu. Beliau telah 13 tahun mengajar kanak-kanak yang mempunyai pelbagai masalah termasuk pendengaran, 'Attention Deficit Hyperactivity Disorder' (ADHD), autisme, 'cerebral palsy' dan terencat akal. Beliau berkata beliau sanggup untuk memasuki kehidupan istimewa pelajarnya bagi menjadikan mereka orang yang mempunyai masa hadapan.

Pelajar pendidikan khas memerlukan program-program yang khusus dan sesuai untuk memenuhi keperluan perkembangan fizikal, intelek, emosi, dan sosial. Program pendidikan khas ini mempunyai kategorinya yang tersendiri antaranya kelas pemulihan, pintar cerdas, autisme, disleksia dan sebagainya. Kelas pemulihan merupakan kelas untuk pencegahan awal kepada murid disebabkan perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar mengakibatkan segolongan mereka lambat untuk menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakannya yang lain. Autisme pula merupakan murid yang mengalami kecelaruan neuorologikal otak sehingga menjejaskan fungsi otak dalam aspek kognitif, bahasa dan komunikasi. Manakala disleksia pula merupakan keadaan murid yang mengalami masalah membaca yang serius. Setiap masalah yang dihadapi pelajar bekeperluan khas ini mempunyai kaedah pembelajaran dan pengajaran yang berbeza yang dikawal oleh guru yang berkelayakan. 

Daripada akhbar di atas, Cikgu Sabri memberitahu pendekatan yang digunakan untuk mengajar pelajarnya dengan menonton video, menyanyi dan menari bersama murid, tetapi memerlukan masa yang panjang terutama pelajar yang tidak mahu meneroka bidang akademik. Beliau lebih mengikuti apa yang diingini pelajar untuk bermain di dalam pembelajaran agar kanak-kanak itu belajar di suasana yang gembira. 

Kesimpulan, guru pendidikan khas perlu untuk lebih kreatif untuk menarik perhatian pelajar pendidikan khas agar mereka lebih berminat dengan pembelajaran yang membentuk masa depan mereka. 

Bab 8 : Pengurusan Pelbagai Budaya






Berdasarkan akhbar di atas,  Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menyarankan sekolah pelbagai aliran di negara ini mengadakan program atau aktiviti silang budaya bagi mencorak pemikiran generasi masa depan. Aktiviti seperti pertukaran murid dan guru, bermain sukan dan persembahan budaya secara bersama, boleh menjadi penawar kepada masalah atau isu perhubungan antara kelompok masyarakat yang berbeza di Malaysia. Beliau berkata "Saya ingin melihat lebih banyak aktiviti silang budaya melihatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil, dan Sekolah Agama perlu diadakan, bagi kita memahami satu sama lain."

Pengurusan pelbagai budaya di sekolah merupakan proses atau stratergi pendidikan yang melibatkan lebih dari satu budaya yang ditunjukkan melalui bahasa, etnik, atau ciri-ciri ras. Pendidikan pelbagai budaya ini boleh berlaku dalam pendidikan formal atau tak formal. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kesedaran, toleransi, pemahaman, pengetahuan yang mengambil kira perbezaan dan persamaan antara budaya.

Di dalm pengurusan pelbagai budaya di sekolah, guru merupakan individu yang bertanggungjawab memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar. Pemahaman terhadap budaya bangsa lain amat penting untuk mewujudkan sikap saling menghormati dan menerima di antara satu sama lain. Guru wajarlah memahaminya terlebih dahulu untuk diserap kepada diri pelajar kemudiannya. Guru juga tidak boleh ada sikap prejudis dalam diri terhadap pelajar yang berlainan bangsa dan agama agar sikap toleransi mampu dicapai di dalam sekolah yang mempunyai pelbagai budaya.

Perpaduan kaum di sekolah dapat dicapai dengan menubuhkan kelab rukun negara, kem perpaduan dan program silang budaya. Berdasarkan akhbar di atas Menteri pendidikan memberi penekanan kepada program silang budaya. Program ini memberi pengalaman kepada pelajar untuk merasai tradisi dan aktiviti yang ada pada bangsa lain. Perkara ini mendatangkan sikap keterbukaan dan saling mengetahui mengenai pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia.

Oleh itu, sekolah wajarlah merancang dan menggerakkan program-program yang mampu untuk menyatupadukan murid pelbagai kaum di sekolah. Sekolah merupakan tempat yang utama untuk memupuk kesepaduan dan kesejahteraan kaum agar semua kaum di Malaysia hidup dalam harmoni tanpa ada sikap prejudis sesama sendiri.


Bab 7: Pengurusan Penasihatan Murid





Akhbar di atas menceritakan mengenai keberkesanan program mentor-mentee yang menjadi pendorong untuk pelajar melakar kejayaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Malim. Program mentor mentee merupakan program yang memberi perkhidmatan secara berkelompok berbentuk hubungan antara pelajar yang dikawal sebagai mentee manakala guru sebagai mentor. Program ini untuk mengeratkan lagi hubungan di antara guru dan pelajar agar para pelajar boleh berkongsi masalah akademik dan sebagainya dengan guru mentor agar pelajar dapat dibentuk menjadi lebih cemerlang. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Mokhtar Haron berkata, program mentor-mentee ini secara tidak langsung membantu dalam meningkatkan Gred Purata Sekolah, sekali gus menaikkan prestasi dan pencapaian sekolah.

Setiap guru merupakan individu yang bukan sekadar mengajar di dalam kelas malah sebagai pengganti ibu bapa pelajar di sekolah memandangkan lebih separuh masa pelajar dihabiskan di sekolah. Setiap guru merupakan insan yang akan menjadi tempat untuk pelajar berkongsi masalah terutamanya dalam hal pembelajaran. Bimbingan asas amat diperlukan untuk memberi motivasi kepada para pelajar. 

Mentoring dari sudut pendidikan merupakan gabungan di antara melatih, kaunseling dan penilaian di mana mentor diberi tanggungjawab untuk membantu mentee. Proses mentoring adalah dengan menjalinkan hubungan yang baik dan mesra dengan pelajar. Perkara ini mungkin mengambil masa yang sedikit lama bagi memastikan wujudnya perasaan saling mempercayai di antara mentor dan mentee. Kemudian seorang mentor mestilah berusaha untuk membantu pelajar satu peringkat kepada satu peringkat sehingga pelajar dapat mencapai kebolehan diri. 

Kesimpulan, setiap guru perlu mempunyai semangat dan motivasi yang tinggi untuk dikongsikan kepada pelajar kerana guru bukan hanya insan yang memberi ilmu pengetahuan bahkan merupakan tempat untuk pelajar berkongsi rasa dan guru merupakan insan yang penting untuk mendorong pelajar melakar sebuah kejayaan. 




Bab 6: Pengurusan Disiplin





Berdasarkan akbar diatas, pelajar yang dibuang sekolah kerana masalah disiplin termasuk terbabit kes buli masih diberi peluang untuk memohon masuk ke sekolah lain. Timbalan Menteri Pendidikan II Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, hanya pelajar yang terbabit dalam kes serius dikenakan tindakan buang sekolah. Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Petani Muda Malaysia Berhad (KPMMB) berkata, tindakan buang sekolah adalah langkah terakhir jika seseorang pelajar itu didapati tidak boleh lagi belajar di sekolah lama. Kata beliau lagi, pelajar yang dibuang sekolah masih berpeluang memohon masuk ke sekolah lain kerana  tidak mahu mereka tercicir dari arus pendidikan nasional. 

Guru besar merupakan individu yang paling berkuasa untuk menjatuhkan hukuman kepada pelajar di sekolah mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Perkara ini dinyatakan di dalam peraturan 5 dalam peraturan-peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah) 1959. Di dalam peraturan 8 ada menyatakan kuasa guru besar untuk menggantung persekolahan atau membuang murid daripada sekolah. 

Di dalam peraturan 10 pula, ibu bapa atau penjaga murid yang digantung atau dibuang sekolah boleh memohon rayuan dalam tempoh satu dari tarikh murid itu digantung atau dibuang. Kemudian peraturan 12 menerangkan syarat masuk balik murid yang telah dibuang di sekolah sama ada diterima sebagai murid atau tidak. 

Kementerian Pendidikan Malaysia telah meletakkan kategori kesalahan di sekolah untuk menjatuhkan hukuman. Guru besar atau guru perlu untuk mengikut panduan yang telah ditetapkan sebelum menghukum seseorang pelajar, kes jenayah yang besar perlu diserahkan kepada pihak yang lebih berkuasa seperti anggota PDRM. 

Kesimpulannya, kesalahan disiplin di dalam sekolah bukanlah suatu perkara yang biasa, ia perlu dipandang serius oleh semua guru kerana dinyatakan di dalam surat pekeliling ikhtisas bul 9/1975 " Semua guru hendaklah juga memahami benar-benar bahawa tiap-tiap mereka adalah bertanggungjawab untuk memelihara disiplin sesebuah sekolah". 






Bab 5 : Pengurusan Bilik Pembelajaran





Berdasarkan akbar di atas, rak yang menempatkan asid telah runtuh menyebabkan balang asid tumpah sebanyak 4 liter di makmal sains Sekolah Menengah StGabriel, Jalan Perwira, Kuala Lumpur. Pasukan bomba dan Penyelamat telah dihubungi oleh sekolah tersebut. Pasukan HAZMAT  iaitu pasukan bomba yang menangani bahaya kimia telah datang di sekolah tersebut untuk meneutralkan acid yang tumpah iaitu  Phosphorus, Nitrium, Sodium dan Lithium. Pasukan HAZMAT  juga mengasingkan cecair kimia tersebut. 

Bilik makmal merupakan salah satu bilik pembelajaran yang digunakan pakai untuk menjalan sesi pengajaran dan pembelajaran. Soal keselamatan bilik makmal perlu dititikberatkan kerana di situ menempatkan pelbagai cairan kimia yang mungkin mengundang bahaya kepada pelajar mahupun guru. 

Guru kanan bidang sains dan matematik merupakan individu yang bertanggungjawab untuk merancang suasana di dalam makmal sains. Tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh guru tersebut ialah menyelia dan memastikan segala kemudahan fizikal seperti sistem bekalan eletrik, gas, air, kerusi, dan lain-lain berfungsi dan menepati ciri-ciri keselamatan. Selain itu, guru tersebut juga perlu untuk merancang dan menyediakan pelan tindakan keselamatan semasa kecemasan, peraturan keselamatan, latihan kecemasan dan kebakaran, memastikan kit pertolongan cemas lengkap dan tidak luput tarikh penggunaannya. 

Oleh itu, Guru yang bertanggungjawab di dalam bilik pembelajaran tidak kira di bilik makmal, bengkel kemahiran dan bilik seni memainkan peranan yang besar dalam memastikan keadaan yang selamat dan terjaga serta memastikan segala peraturan diikuti bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di dalam pembelajaran di bilik pembelajaran.


Bab 4 : Pengurusan Bilik Sumber





Keratan akhbar di atas adalah berkenaan dengan Majlis Anugerah Teknologi Pendidikan dan Tokoh Nilam peringkat WPKL di Kuala Lumpur. Di dalam majlis tersebut, beberapa orang pelajar telah terpilih untuk mendapat anugerah Tokoh Nilam. Majlis yang dijalankan itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Ismail Musa telah berkata bahawa transfomasi pelajar perlu bermula dengan guru untuk menjadi suri teladan kepada murid. Beliau berkata lagi, Perubahan dalam diri pelajar adalah bermula daripada guru di sekolah, justeru jadikan pembaharuan positif ini sebagai contoh terbaik kepada pelajar seterusnya mewujudkan suasana kondusif di setiap sudut sekolah termasuklah bilik guru dan Pusat Sumber Abad ke -21. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah berkenaan dengan pengurusan bilik sumber iaitu bilik perpustakaan dan media yang menjadi medium kepada pelajar untuk mengesan dan mengasah bakat  yang ada dalam diri mereka.  Bilik sumber bukan sekadar tempat untuk pelajar mendapatkan bahan rujukan malah sebagai agen perubahan untuk kemajuan diri pelajar. Contoh yang terdapat di dalam artikel ini ialah bahagian pusat sumber sekolah mengadakan pertandingan Nilai mengikut kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Oleh itu, seharusnya juga Pusat sumber sekolah ditranfomasikan kepada yang lebih menarik agar dapat menarik minat pelajar untuk mengunjunginya dan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing justeru dalam hal ini guru perpustakaan dan media merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menjadikan pusat sumber sekolah sebagai tempat untuk menjadikan pelajar insan yang lebih berdaya saing. 



Khamis, 23 Mei 2019

Bab 3 : Pengurusan Bilik Darjah

Bilik darjah merupakan antara elemen yang penting di dalam sekolah. Ia merangkumi murid, guru, tugasan, ruang, masa, dan bahan pembelajaran.

Pengurusan bilik darjah merupakan proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah fizikal sesebuah bilik darjah, galakan komunikasi dan interaksi antara murid. Tujuan pengurusan bilik darjah ini adalah sebagai pemudahcara atau mengendalikan pembelajaran murid di dalam kelas.

Terdapat tiga perkara yang mempengaruhi bilik darjah iaitu fizikal, psikososial dan aktiviti pembelajaran. Pengurusan persekitaran fizikal bilik darjah ini perlulah mengambil perhatian kepada persekitaran yang selamat. Seterusnya, meletakkan identiti simbolik seperti carta organisasi dan carta organisasi. Persekitaran bilik darjah juga perlu mempunyai bahagian untuk meletakkan peralatan, bahan bacaan dan buku kerja. Akhir sekali, elemen ketenangan juga perlu diselitkan di dalam persekitaran bilik darjah dengan meletakkan susunan dan hiasan menarik dan selesa.

Seterusnya, pengurusan psikosial di dalam bilik darjah merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Faktor yang mempengaruhi psikososial bilik darjah antaranya pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru dan bentuk komunikasi dan interaksi dalam bilik darjah. Pengurusan psikosial di dalam bilik darjah dengan mewujudkan suasana demokratik dalam bilik darjah. Selain itu, guru menjadi pendidik dan bertindak sebagai fasilitator di dalam kelas. Komunikasi berkesan juga termasuk dalam pengurusan psikososial di dalam bilik darjah.

Aktiviti pembelajaran di dalam kelas pula berpusatkan kepada guru, bahan pengajaran dan pelajar. Pengajaran berkumpulan merupakan aktiviti yang baik untuk dijalankan di dalam kelas kerana ia memudahkan guru untuk membimbing pelajar, seterusnya untuk menggalakkan pelajar bergerak aktif dalam pembelajaran. Namun untuk membentuk kumpulan pelajar hendaklah diambil kira kebolehan setiap pelajar, pelbagai kebolehan dan mengikut minat pelajar.

Akhir sekali, bahan pengajaran juga penting sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna. Bahan pengajaran menjadikan murid lebih faham apa yang dipelajari. Perancangan bahan pengajaran juga perlu diambil kira seperti jenis dan bentuk bahan, cara bahan itu digunakan dan kemudahan untuk mendapat bahan tersebut.

Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah ini perlu dilaksanakan dengan sebaiknya oleh guru kerana ia membantu guru untuk mengesan perkembangan murid secara menyeluruh.

Rabu, 22 Mei 2019

Bab 2 : Pengurusan Murid

Pengurusan murid di sekolah mempunyai 3 bahagian iaitu Rekod murid, kesediaan belajar dan motivasi.

Sebelum ini, rekod pelajar disimpan di dalam kad rekod persekolahan pelajar yang mempunyai dua kod menurut ikhtisas KPM bil 9/1978: Kad Rekod Persekolahan ( Pupil's Cumulative Record Card)  iaitu 001R (Warna Kuning) untuk pelajar sekolah rendah manakala kod 001M ( Warna biru ) untuk pelajar sekolah menengah.  Kandungan yang terdapat di dalam kad ini ialah Rekod peribadi, keputusan peperiksaan, bantuan persekolahan, minat dan kecenderungan, rekod kesihatan dan rekod penyakit kronik.

Pada 1 Januari 2017, penggunaan kad rekod pelajar telah dimansukhkan menurut pekeliling ikhtisas KPM bil 1/2017 : Pemansuhan kad rekod persekolahan 001R dan 001M dan digantikan dengan Aplikasi pangkalan Data murid (APDM) menerusi talian. Rekod murid ini dipertanggungjawabkan kepada guru kelas untuk mengisi dan mengemaskini segala yang berkaitan. Rekod pelajar ini untuk memantau kemajuan murid dan mengenalpasti keperluan murid berdasarkan latar belakang, pencapaian akademik dan kehadiran. Rekod ini juga penting bagi memastikan pelajar yang memerlukan bantuan kewangan mahupun bimbingan khas.

Kesediaan belajar untuk murid  dipengaruhi oleh tiga aspek iaitu kesediaan kognitif, afektif dan psikomotor. Kesediaan kognitif berkait rapat dengan mental untuk memahami dan berfikir serta perkembangan mental bergantung kepada umur seseorang. Manakala kesediaan afektif pula seperti sikap, keinginan, minat, nilai untuk menerima pelajaran yang akan disampaikan. Dan kesediaan psikomotor pula penguasaan fizikal termasuklah perkembangan fizikal merangkumi fungsi seluruh anggota dan bergantung kepada kesediaan kognitif dan afektif pelajar.

Motivasi pelajar pula dipengaruhi oleh dua teknik iaitu teknik intrinsik dan teknik ekstrinsik. Teknik intrinsik merupakan dorongan dan minat yang terdapat pada diri seseorang tanpa mengharapkan ganjaran. Ia berkaitan dengan sifat semula jadi seoseorang dengan unsur sedia ada dalam proses pembelajaran. Manakala teknik ekstrinsik ini melalui rangsangan luar yang bertujuan memberi pertolongan dan semangat serta kemudahan untuk pelajar untuk belajar.

Kesimpulannya, guru perlu untuk memahami dan menjalankan tanggungjawab pengurusan murid di sekolah tanpa rungutan dan keluhan kerana sudah menjadi peranan guru untuk mengenali siapa pelajar kita dan membantu mereka mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Selasa, 21 Mei 2019

Bab 1 : Kepimpinan dan Organisasi di Sekolah


Kepimpinan dan organisasi merupakan elemen yang penting dalam pengurusan sekolah. Kepimpinan dan organisasi dalam dalam sekolah dipengaruhi oleh gaya kepimpinan, organisasi sekolah, kepimpinan peringkat sekolah dan kepimpinan guru. Kepimpinan di sekolah diketua oleh Kementerian Pelajaran Pendidikan (KPM) kemudian diikuti oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kemudian Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan akhir kepada sekolah.

Organisasi di sekolah pula diketuai oleh pengetua . Pengetua memainkan peranan utama dalam pengurusan sekolah. Pengetua bertanggungjawab dalam peningkatan kurikulum dan kokurikulum serta memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia. Pengetua juga bertanggungjawab dalam hal pengurusan, pentadbiran, dan kewangan sekolah serta mewujudkan hubungan dua hala dengan komuniti dan agensi-agensi luar.

Kemudian, pengetua dibantu oleh Guru Penolong Kanan (GPK) di sekolah. Gpk ini terbahagi kepada Gpk Pentadbiran, kemudian Gpk Petang, Gpk Hal Ehwal Murid dan Gpk Kokurikulum serta Kaunselor Sekolah. Setiap Gpk sekolah memainkan peranan yang tersendiri.

Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran bertanggungjawab dalam hal-hal pentadbiran. Gpk Pentadbiran ini juga terlibat dalam kurikulum sekolah. Gpk Pentadbiran dibantu Guru Kanan Mata Pelajaran dan Guru Pusat Sumber.

Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal murid pula bertanggungjawab dalam hal-hal pengurusan murid seperti disiplin, pendaftran pelajar, kantin dan SPBT. Manakala kanselor sekolah terlibat dalam hal bimbingan dan kerjaya para pelajar.

Akhir Sekali, Guru Penolong Kanan(GPK) Kokurikulum bertanggungjawab dalam kokurikulum pelajar yang terbahagi kepada 3 bahagian iaitu unit beruniform, kelab dan persatuan dan sukan permainan.

Oleh itu, kepimpinan dan organisasi merupakan tonggak utama dalam memastikan pengurusan dan perjalanan di sekolah berjalan dengan lancar.