Isnin, 3 Jun 2019

Bab 10 : Sekolah dan Persekitaran




Perkongsian akhbar di atas adalah berkenaan dengan persoalan kebergantungan sekolah kepada PIBG. Soal ini timbul berikutan ada satu soalan jawab lisan harian di Dewan Rakyat minggu lalu daripada seorang Ahli Parlimen yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan langkah yang diambil bagi menggalakkan ibu bapa menghadiri mesyuarat PIBG sekolah demi kepentingan dan tanggungjawab terhadap pendidikan anak. 

Pertubuhan PIBG peringkat sekolah rendah dan menengah adalah hasil pelaksanaan syor berlandaskan Laporan Aziz yang diumumkan pada tahun 1971. Mengikut Akta Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 1996, tujuan PIBG ditubuhkan adalah mengadakan forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan pelajar dalam sekolah dalam meningkatkan imej; membantu dan menambah usaha sekolah memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan pelajar dalam kegiatan mereka dan membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan.

Menurut akbar di atas, Ibu bapa perlu faham bahawa PIBG badan yang sah ditubuhkan sebagai penghubung antara ibu bapa, guru, sekolah, masyarakat dan pelajar. Komitmen, kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak berkepentingan seperti masyarakat, ibu bapa, pelajar dan guru amat penting dalam memantapkan kecemerlangan pelajar selaku individu yang mampu menyumbang dan memajukan masyarakat. Pencapaian pelajar lebih bermakna apabila keluarga mereka juga turut berperanan dan membabitkan diri dalam kejayaan anak.

Selain itu, sokongan moral juga adalah penting bagi mendorong pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Antara sokongan moral yang boleh diberikan oleh ibu bapa ialah dengan menghadiri Mesyuarat Agung serta memberi pendapat, sentiasa mengambil tahu mengenai anak mereka di sekolah dan memberi sumbangan tenaga melalui permuafakatan daripada aktiviti sekolah seperti kem motivasi dan sebagainya. 

Kesimpulan daripada akbar di atas ialah PIBG merupakan sebuah pertubuhan yang penting dalam memacu kejayaan kanak-kanak. Sokongan, dorongan dan bantuan merupakan material yang menjadi wasilah untuk menyuntik serta memperkasakan lagi pendidikan untuk para pelajar. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan